APA ITU UJIAN PISA?
PISA 2012 merupakan kajian ke-5 yang diadakan. Ujian ini adalah bagi menguji tahap penguasaan remaja berusia 15 tahun terhadap keupayaan membaca, Sains dan Matematik. Sebanyak 65 buah negara terlibat pada Ujian PISA 2012, dengan hampir seramai 510 000 pelajar terlibat.Ujian berlangsung selama 2 jam. Ujian terdiri daripada gabungan soalan terbuka (open-ended) dan juga soalan pelbagai pilihan jawapan (multiple-choice).
Antara negara-negara yang sering mengungguli Ujian PISA ini adalah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun, Shanghai (China) serta Singapura. Disebabkan itu jugalah negara-negara ini sering dijadikan rujukan bagi sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, terutamanya sistem pendidikan negara Finland.
Ujian PISA yang terkini pada tahun 2012 juga mendapati Shanghai (China), Hong Kong dan Singapura merupakan tiga negara yang mendapat kedudukan tertinggi dalam ujian membaca, Sains dan Matematik.
Manakala kedudukan Malaysia dalam Ujian PISA adalah seperti berikut: Sumber
2009
Matematik - 57 (mata 404)
Sains - 53 (mata 422)
Membaca - 55 (mata 414)
2012
Matematik - 52 (mata 421)
Sains - 53 (mata 420)
Membaca - 59 (mata 398)
Jika diperhatikan daripada segi mata yang diperolehi oleh pelajar dari Malaysia, jelas menunjukkan penurunan bagi subjek Sains dan Membaca.
Dikatakan ada 3 faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, iaitu sikap pelajar yang tidak menjawab dengan bersungguh-sungguh, format soalan PISA yang berbeza daripada format soalan peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas dan keutamaan guru dalam menghabiskan sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan. Sumber
Untuk itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merancang beberapa strategi bagi mengatasi masalah ini. Sumber
1. KSSR / KSSM
Elemen baharu, iaitu inovasi dan kreativiti dengan subjek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan akan diteruskan dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) pada tahun 2017.
2. i-Think
Kerjasama antara KPM dengan Agensi Inovasi Malaysia. Kaedah pembelajaran dengan menggunakan 8 Peta Pemikiran. Dirintis pada tahun 2012 di 10 buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 2014.
3. Kajian Susulan
KPM menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran.
4. PPPM
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penandaaras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca.
Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
5. Task Force TIMSS dan PISA
Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dan guru.
Mudah-mudahan artikel mengenai PISA ini, mampu memberi ruang kepada kita untuk memahami dan menilai semula rasional di sebalik transformasi pendidikan yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
No comments :
Post a Comment