sumber :: Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:20 AM
Kuala Lumpur : Kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 daripada pelan sama di peringkat prasekolah hingga lepasan menengah akan menyokong usaha negara untuk melahirkan modal insan yang lebih berkualiti dan komprehensif.
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, melalui jajaran kandungan PPPM 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah) yang dilancarkan dua tahun lalu, transformasi pendidikan negara akan lebih lengkap dan tidak terhenti setakat peringkat lepas menengah saja.
Menurutnya, lima aspirasi sistem dan enam aspirasi murid yang ditetapkan untuk PPPM turut diserap ke dalam PPPM (PT) bagi memastikan kedua-dua pelan mengikut hala tuju sama.
“Setiap komponen yang ada dalam PPPM kita selaraskan dalam PPPM (PT) cuma huraiannya dibentuk mengikut kesesuaian peringkat pengajian tinggi dengan pendekatan berbeza.
“Misalnya aspirasi Kemahiran Berfikir, dalam PPPM sudah dijelaskan bahawa murid perlu menguasai dan mempamerkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Aspirasi ini dijajarkan pada PPPM (PT) tetapi bezanya kita mahu pelajar bukan saja menguasai KBAT malah berupaya berfikir di tahap global,” katanya.
Idris berkata, begitu juga dengan aspirasi sistem terdiri daripada akses, kualiti, ekuiti, uniti dan kecekapan yang dinyatakan secara jelas dalam pelan untuk pendidikan tinggi itu.
“Jika akses untuk PPPM adalah meningkatkan enrolmen murid, bagi PPPM (PT) kita juga memberi tumpuan kepada ketersediaan pendidikan tinggi kepada rakyat, seperti yang diukur dengan kadar kemasukan.
“Di peringkat pendidikan prasekolah hingga lepas menengah, kita mempunyai 10,154 sekolah sebagai akses pendidikan murid pada tahap ini dan ia disusuli dengan peringkat pendidikan tinggi yang memiliki hampir 700 IPT termasuk 20 universiti awam,” jelasnya.
Antara 2003 hingga 2013, terdapat peningkatan enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak 70 peratus kepada 1.2 juta. Enrolmen pelajar sarjana muda pula meningkat enam kali ganda sejak 1990 hingga 2010 manakala sarjana meningkat 10 kali ganda dalam tempoh sama.
Mengulas lanjut, Idris berkata, di bawah PPPM (PT), hasrat kementerian untuk melahirkan graduan seimbang ilmu dan akhlak juga bakal terlaksana dengan memasukkan elemen tambahan seperti sahsiah dalam purata nilai gred keseluruhan (CGPA) pelajar IPT.
Kata beliau, CGPA bersepadu itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi pendedahan awal kepada warga IPT mengenainya.
“Jadi selepas ini, walaupun pelajar memperoleh A bagi semua subjek, belum tentu dia akan dapat CGPA 4.0 jika sahsiahnya tidak sebaik pencapaian akademiknya.
“Jika ia dilaksanakan maka Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia menerapkan elemen sahsiah secara menyeluruh berbanding kebanyakan negara lain yang tidak begitu memberi tumpuan terhadap aspek ini,” katanya.
Idris turut menekankan kepentingan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam PPPM (PT) selepas menyasar aliran itu akan menguasai bidang pekerjaan menjelang 2020.
Menurutnya, pelan yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 April depan mampu membawa perubahan cemerlang dalam sistem pendidikan negara menjelang 10 tahun akan datang.
Beliau juga yakin kedudukan pendidikan Malaysia di dunia akan jauh lebih hebat daripada sekarang.
“PPPM (PT) juga dibentuk hasil penambahbaikan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang mula dilaksanakan pada 2007 jadi asas ini menjadikannya lebih holistik dan teguh,” katanya.
Lebih 8,000 maklum balas diterima Kementerian Pendidikan (KPM) daripada pelbagai lapisan masyarakat yang memberikan cadangan berhubung penambahbaikan untuk dipertimbang dan dimuatkan dalam PPPM (PT).
Malah sejak pautan cadangan untuk pelan itu di laman web rasmi KPM dilancarkan pada 9 Disember tahun lalu, lebih 1,000 emel diterima.
Mengimbas sebahagian kejayaan sektor pendidikan tinggi setakat ini, sebanyak 11 fakulti di IPT seluruh negara tersenarai dalam 100 terbaik di dunia.
Kedudukan Universiti Malaya (UM) sebagai universiti terbaik dunia juga naik mendadak dari tangga ke-167 pada 2013 kepada 151 tahun lalu.
Hasil kajian yang dijalankan organisasi antarabangsa tahun lalu juga mendapati Malaysia adalah negara kesembilan menjadi pilihan pelajar antarabangsa sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka.
No comments :
Post a Comment