21 Aktiviti Menarik Bulan Sains dan Matematik
Bulan April dah mula menjengah. Maka bermulalah juga Bulan Sains dan Matematik di sekolah saya. Banyak juga aktiviti yang dah dirancangkan. Jom saya kongsikan sket cadangan 21 Aktiviti menarik bagi Bulan Sains dan Matematik. Mudah-mudahan dapat membantu rakan guru di luar sana dalam mencari idea untuk diadakan di sekolah masing-masing.
1. Pertandingan Fotografi Sains
Pertandingan fotografi ini adalah seperti pertandingan fotografi yang lain. Janji gambar nampak cantik di mata cikgu, maka cikgu dah boleh isytiharkan siapa pemenangnya. Bagi pertandingan ini, subjek dan temanya mesti lah ada kena mengena dengan Sains. Sebagai contohnya, tumbuhan berbunga atau tumbuhan tidak berbunga.
Penggunaan kamera bergantung kepada cikgu sendiri, sama ada nak sediakan banyak-banyak kamera, atau pun benarkan pelajar menggunakan kamera sendiri. Pertandingan ini sebenarnya saya dah kongsikan secara detail dalam entri yang terdahulu.
2. Pameran Sains
Ini adalah aktiviti yang agak biasa dijalankan di mana-mana sekolah. Bezanya mungkin bergantung kepada apa benda yang nak dipamerkan. Jika ada bahan pameran yang menarik dan boleh membuatkan pelajar rasa teruja nak melihat dan membelek bahan pameran anda, maka dipersilakan. Jika bahan pameran adalah biasa-biasa sahaja, maka saya rasa aktiviti ini agak membosankan.
3. Pertandingan Telur Kebal
Pertandingan Telur Kebal ini adalah pertandingan mencipta bahan sokongan bagi telur, supaya tak pecah jika dijatuhkan daripada tempat yang tinggi. Kalau tak pecah, maka kebal lah telur itu. Pelajar boleh menggunakan kaedah masing-masing sekreatif mungkin, tetapi masih berpandukan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Semakin ketat peraturan yang cikgu tetapkan, maka semakin kreatif lah hasil daripada pelajar nanti. Aktiviti ini agak menarik dan cukup menghiburkan. Jangan terkejut dengan kreativiti anak murid cikgu dalam menghasilkan produk mereka!
4. Kuiz Sains (bertulis)
Ini juga adalah aktiviti turun temurun dan menjadi kebiasaan kepada hampir semua sekolah. Namun, rakan guru boleh mengkreatifkan kuiz ini dalam bentuk yang lebih terkini. Sebagai contoh, dengan menggunakan Makmal Komputer bagi menjawab soalan yang sudah diselaraskan. Minta bantuan daripada rakan guru yang mahir dalam menetapkan penggunaan ICT, inshaAllah aktiviti kuiz ini juga boleh jadi aktiviti yang menarik.
5. POPKUIZ Sains
Aktiviti kuiz yang berbentuk seperti POPKUIZ ini juga dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti aktiviti Bulan Sains dan Matematik dengan jayanya. Adakan kumpulan daripada setiap kelas yang terdiri daripada 2 / 3 orang dalam satu kumpulan.
Beberapa pusingan boleh diadakan bergantung kepada kreativiti cikgu. Mungkin pusingan pertama memberi peluang kepada setiap kumpulan untuk memilih soalan, diikuti pusingan kedua yang memberi peluang kepada kumpulan yang paling pantas menjawab soalan.
6. Pertandingan Amali
Pertandingan amali adalah pertandingan yang mengkhususkan kepada kemahiran menjalankan eksperimen dengan baik. Pemilihan eksperimen adalah bergantung kepada guru. Lebih susah eksperimen yang dijalankan, lebih mencabar pertandingan tersebut kepada pelajar.
Pemarkahan boleh dinilai pada hasil akhir eksperimen, kemahiran menjalankan eksperimen dan perkara-perkara yang berkaitan dengan nilai semasa menjalankan eksperimen.
7. Drama Sains
Aktiviti ini juga merupakan aktiviti yang menarik. Ada kelainannya. Setiap kumpulan diberikan masa 10 minit bagi mempersembahkan drama yang berunsurkan Sains. Kreativiti adalah bergantung kepada pelajar sama ada mahu menggunakan konsep sketsa, puisi dan lagu, atau apa-apa seni persembahan lain.
Pemarkahan diberi pada kandungan Sains yang dinyatakan dalam drama, kreativiti dan penggunaan bahan yang sesuai. Jika ada faktor lain yang boleh dinilai, seperti mutu lakonan dan persembahan, maka mungkin rakan guru boleh berikan markah bonus.
8. Pertandingan Video
Jika sekolah anda mempunyai budaya 'video' yang bagus, maka saya sarankan diadakan pertandingan mencipta video berunsurkan Sains. Jika tak ada pun, masih rakan guru boleh teruskan aktiviti ini dengan seringkas mungkin.
Pelajar menghasilkan video pendek, dalam jangka masa 2 - 5 minit yang menerangkan mengenai apa-apa yang berkaitan dengan Sains. Video boleh dirakam terus dengan menggunakan apa jua jenis kamera (termasuk kamera telefon), dan boleh juga dalam bentuk yang sudah di-edit.
9. Membina model
Pertandingan ini juga dapat membina kreativiti pelajar anda. Guru-guru boleh tetapkan syarat dan juga peraturan yang perlu dipatuhi pelajar. Sebagai contohnya, wajib menggunakan bahan terpakai.
Tujuan model dibina juga boleh dipelbagaikan dengan menetapkan tema perhiasan rumah, tema projek alam sekitar, tema barang pelbagai-guna dan macam-macam lagi.
10. Pertandingan Memasang Model
Pertandingan ini saya dapat idea semasa menjalankan pdp dalam kelas. Pelajar sangat teruja mahu siapkan memasang model dengan masa yang paling pendek. Maka saya anjurkan pertandingan memasang model paling cepat.
Model yang cikgu boleh gunakan adalah model manusia dan juga model litar elektrik (selari dan bersiri). Hati-hati juga. Takut ada yang terlebih excited nak pasang model, sampai habis rosak model yang ada.
11. Explorace Sains / Saintis Muda
Pertandingan ini dicedok daripada pertandingan Explorace yang popular suatu ketika dahulu. Konsepnya lebih kurang sama, iaitu ditetapkan beberapa stesyen, dengan setiap stesyen mempunyai tugasan tertentu yang perlu diselesaikan. Kumpulan yang paling awal menamatkan cabaran, akan dikira sebagai pemenang.
Bagi setiap stesyen, banyak aktiviti atau tugasan yang boleh ditetapkan. Kalau cikgu mahu lebih menarik, jalankan aktiviti ini di luar daripada kelas dan juga makmal. Tentu meriah melihat kumpulan pelajar terkejar-kejar ke sana ke sini bagi mendapatkan jawapan!
12. G-Math
Ini adalah pertandingan yang mirip kepada permainan sahibba. Bezanya permainan ini memerlukan kemahiran asas mengira + - / x dalam menghasilkan sesuatu persamaan matematik itu.
Bagi yang belum pernah mencuba, mungkin agak sukar. Namun jika sudah mula bermain, G-Math ini pasti menyeronokkan.
13. Pertandingan Sudoku
Tak sahlah kalau permainan ini tak dimasukkan dalam senarai aktiviti bulan Sains dan Matematik. Permainan Sudoku ini agak menarik dan mencabar kemampuan pelajar untuk berfikir dengan pantas dan tepat.
Mungkin rakan guru boleh kreatif kan lagi permainan ini dengan mengadakan perlumbaan siapa yang dapat selesaikan masalah Sudoku ini dengan lebih pantas! Adakan dalam beberapa pusingan, dengan setiap pusingan menyaksikan sebilangan pelajar akan tersingkir. Tentu lebih menarik!
14. Pertandingan Teka Berat / Teka Bilangan
Ini juga pertandingan yang agak menarik. Guru boleh meletakkan apa-apa barang dalam balang besar / akuarium dan kemudiannya menyuruh pelajar untuk meneka bilangan atau pun berat barang tersebut. Guru-guru boleh gunakan guli, biji kacang hijau, biji getah dan apa-apa yang difikirkan sesuai.
Sediakan borang kecil yang mencatatkan maklumat peneka dan terus sediakan kotak pertandingan. Letakkan juga balang besar / akuarium tersebut di tempat laluan yang strategik. Tentu banyak sambutan. Sekurang-kurangnya pelajar juga dapat menggunakan kemahiran menganggar dengan logik dan bijak.
15. Pertandingan Sudut Matapelajaran
Setiap kelas di sekolah diminta untuk menghias sudut matapelajaran 'Sains'. Bahan yang dilekatkan perlulah bahan yang berkualiti dan dengan persembahan yang menarik dan ceria.
Bagi memudahkan penilaian dari kelas ke kelas, rakan guru boleh menetapkan tema bagi sudut Sains tersebut. Contohnya, tema angkasa, tema hidupan air, keseimbangan ekosistem dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan Sains.
16. Pertandingan Artikel Sains
Pertandingan menyediakan artikel Sains dengan maklumat yang menarik. Pelajar dibenarkan untuk menggunakan sebarang bahan untuk mendapatkan artikel Sains yang menarik.
Jika ditetapkan penggunaan saiz A4 serta bahan yang digunakan, mungkin juga artikel Sains yang dihasilkan oleh pelajar dalam pertandingan tersebut dapat di-laminate dan dijadikan bahan hias sekitar sekolah. Bahan info Sains yang menarik!
17. Buku Skrap
Penghasilan buku skrap Sains juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tema yang ditentukan kepada pelajar boleh datang dalam bentuk yang pelbagai. Sebagai contohnya senarai tumbuhan yang terdapat dalam kawasan sekolah. Bagi menambahkan lagi cabaran, guru boleh tetapkan juga nama saintifik bagi setiap tumbuhan yang dimasukkan dalam buku skrap.
Selain daripada cadangan tema di atas, guru juga boleh tetapkan tema lain seperti senarai tumbuhan berbunga dan tidak berbunga, monokotiledon dan dikotiledon serta serangga yang wujud dalam kawasan sekolah.
18. Pelancaran Roket Air
Roket air juga merupakan aktiviti Bulan Sains yang boleh memberi kelainan kepada pelajar. Pertandingan sebegini sudah tentu merangsang kreativiti pelajar dalam menghasilkan roket air dengan inovasi yang tersendiri.
19. Lawatan ke Agensi / Pusat Sains
Bagi sekolah yang berada berdekatan dengan mana-mana agensi atau pusat Sains, maka anda bolehlah membuat lawatan sambil belajar ke pusat tersebut. Rancang aktiviti dengan baik, inshaAllah ini akan jadi pengalaman yang berharga buat pelajar.
Mana tahu dengan lawatan tersebut menyebabkan pelajar akan lebih berminat untuk mendalami Sains. Selain daripada agensi / Pusat Sains, antara tempat lain yang anda boleh adakan lawatan sambil belajar adalah institusi seperti universiti, Pusat Kimia, kilang industri, pusat rawatan air, pusat pelupusan sampah, empangan hidroelektrik dan apa-apa yang berkaitan dengan Sains.
20. Ceramah / Bengkel
Ini lagi satu aktiviti yang agak membosankan untuk diadakan di Bulan Sains dan Matematik. Namun aktiviti zaman berzaman ini kalau nak diadakan jugak, boleh disegarkan dengan ceramah atau bengkel oleh individu yang lebih berpengaruh (artis, tokoh). Pokok pangkalnya mestilah ceramah atau bengkel yang berkaitan dengan Sains.
Selain daripada individu, pihak sekolah juga boleh memohon pihak universiti atau mana-mana institusi yang berkaitan dengan Sains untuk datang memberi ceramah di sekolah. Semoga terhibur.. ;)
21. Mencerap Bintang
Bagi sekolah yang mempunyai peralatan yang mencukupi, pihak sekolah boleh juga mengadakan sesi mencerap bintang di langit. Saya rasa aktiviti ini menarik dan sangat bersesuaian dengan bulan Sains dan Matematik.
Walaubagaimanapun beberapa perkara perlu diambil kira. Terutamanya yang berkaitan dengan perjalanan pelajar pada malam hari serta kesediaan guru untuk meluangkan masa malam di sekolah bersama pelajar, sambil melihat bintang yang berkerlipan.
Inilah antara beberapa cadangan aktiviti menarik yang boleh dianjurkan sepanjang Bulan Sains dan Matematik. Hampir kebanyakan daripada aktiviti di atas ada dan pernah dianjurkan di sekolah saya. Ada yang mendapat sambutan hangat dan ada yang mendapat sambutan suam-suam kuku. Semuanya bergantung kepada kreativiti cikgu dalam melaksanakan pertandingan dan aktiviti tersebut.
Jika sekiranya cikgu-cikgu mempunyai cadangan aktiviti lain, boleh lah kongsikan juga di ruangan komen supaya boleh diambil manfaat oleh rakan guru yang lain. Selamat mencuba!
No comments :
Post a Comment