Programme for International Student Assessment (PISA)

Our Topic

- Saturday 18 April 2015

Cabaran Guru Kini





Menjadi perbualan ramai juga di kalangan guru yang menyebut pasal cabaran menjadi guru kini yang agak mencabar dari pelbagai sudut. Salah satu yang paling mencabar ialah guru tidak boleh langsung mendenda murid dengan menyentuh fizikal mereka seumpama merotan, berdiri atas kerusi, ketuk ketampi dan seumpanya selain hanya boleh menggunakan kaedah psikologi sahaja.

Guru boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati fizikal murid disentuh dengan apa sahaja alat mahupun tangan guru itu sendiri membuatkan guru terpaksa menjerit-jerit ketika melakukan proses PDP. Kaedah pujuk dan guna psikologi bagi menghadapi murid yang tidak siap kerja sekolah, selalu datang lambat, langgar peraturan sekolah, merokok dan sebagainya membuatkan disiplin murid merosot dan proses membentuk sahsiah murid yang cemerlang juga gagal. Kegagalan mengamalkan sahsiah yang positif dibawa ke tahap seterusnya pelajar itu di alam pendidikan tinggi, pekerjaan dan dalam kehidupan bermasyarakat dan berkeluarga.

Cabaran yang agak kuat juga datangnya dengan perkembangan semasa yang memerlukan kemahiran IT dalam setiap aspek kehidupan kita hari ini yang mana guru-guru juga tidak terkecuali hendak tidak hendak terpaksa melaluinya samada dengan belajar dan redah sahaja mengkhinzir buta bagi mengikuti perkembangan semasa. Masalah penguasaan kemahiran berkomputer dihadapi oleh guru-guru yang agak berumur kerana buta IT atau memang tidak mahu belajar kerana malas hendak memeningkan kepala maka ada segelintir yang membuat keputusan pencen awal. Kebanyakkan maklumat dan data yang berkait dengan pengurusan sekolah dan murid kini secara atas talian yang sudah semestinya kemahiran asas penggunaan komputer perlulah dikuasai oleh guru-guru. Contoh yang paling hampir ialah pengisian data murid dalam sistem PBS yang sebelum ini boleh dikatakan agak membebankan kerana sistem itu sendiri yang lambat serta terlalu banyak data yang secara berulang perlu dimasukkan secara atas talian mengikut masa tamat yang ditetapkan oleh pihak atasan.

Cabaran yang lain datangnya dari gaya kepimpinan peringkat sekolah yang ditentukan oleh kehendak dan pemahaman guru besar atau pengetua bagi sesebuah sekolah itu. Bagi sekolah yang mendapat pemimpin yang prihatin dan mesra dengan anak buahnya maka kuranglah tekanan dari aspek kerja dan sesuatu pekerjaan yang diamanahkan itu dilakukan secara sukarela dan seronok. Ada jenis pemimpin yang hanya pandai menekan dengan sesuatu yang agak remeh dan tiada budi bicara sehingga seperti yang di atas tadi yang mana sanggup pencen awal. Ini sesuatu yang amat merugikan dunia pendidikan bila mana guru-guru yang amat berpengalaman dan mempunyai komitmen yang tinggi meninggalkan bidang pendidikan kerana gaya kepimpinan sekolah yang sentiasa menekan dan kurang mesra dengan kaki tangannya.

No comments :

Post a Comment